SEJARAH SEKOLAH

Sejarah Penubuhan Sekolah

Bangunan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Jalan Bukit, Kajang sekarang dikenali dengan nama SRK (1) dan SRK (2) Jalan Bukit, Kajang telah didirikan oleh Kementerian Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu pada akhir tahun 1963.

Bangunan sekolah ini mula digunakan pada 1hb. Januari 1964 dan dirasmikan oleh D. Y. M. M Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 10hb. Oktober 1964.
Pada tahun 1967, bilangan murid-muridnya telah meningkat dengan pesat dan tidak dapat ditampung oleh satu sesi lagi. Jadi terpaksalah berpecah dua. Dua pentadbiran dan dua orang guru besar yang berlainan.

Pertambahan murid yang begitu mendadak ialah disebabkan penduduk persekitaran Kajang telah bertambah ramai. Taman-taman dan rumah kediaman telah mula tumbuh seperti cendawan. Satu faktor lagi ialah kerana sekolah aliran Inggeris pada masa itu dianggap sekolah pilihan utama oleh ibu bapa daripada semua kaum.

Pada masa itu, sekolah aliran Inggeris yang ada di kawasan Kajang iaitu SRK (Inggeris) Jalan Semenyih dan SRJK (Inggeris) Convent. Kedua-dua sekolah ini tidak dapat menampung murid yang ingin masuk ke dalam aliran Inggeris. Desakan demi desakan daripada cerdik pandai di kawasan ini maka lahirlah Sekolah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Jalan Bukit.

Pada tahun 1970, Dasar Pelajaran Kebangsaan telah berubah. Semua sekolah bantuan penuh aliran Inggeris telah menggunakan Bahasa Malaysia dan nama sekolah ini telah bertukar seperti nama yang ada sekarang.


Bangunan Asal
Bangunan asal Sekolah Rendah Kebangsaan Satu, Jalan Bukit atau pada mulanya dikenali dengan nama Sekolah Rendah Kebangsaan (Inggeris) Satu Jalan Bukit, Kajang telah didirikan pada tahun 1963. Dua blok bangunan batu dua tingkat telah didirikan dengan menelan belanja sebanyak RM172,669.06 di atas tapak seluas 4.269 ekar, lot no. 6, 7 dan 17 dalam mukim Kajang. Dua blok bangunan batu dua tingkat ini mempunyai :-

1. 15 buah bilik darjah
2. Sebuah bilik stor
3. Sebuah bilik guru
4. Sebuah bilik Guru Besar
5. Sebuah pejabat
6. Empat buah tandas pam


Bangunan Tambahan

Atas kesedaran betapa pentingnya pelajaran terhadap anak-anak maka ramailah ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Rendah Kebangsaan Satu, Jalan Bukit. Keseimbangan daripada pertambahan dan untuk keselesaan murid-murid belajar, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mendirikan bangunan tambahan pada tahun 1969 dengan perbelanjaan sebanyak RM54,278.20. Bangunan tambahan yang didirikan ini mempunyai:-

1. Tiga buah bilik darjah
2. Sebuah pejabat Guru Besar (untuk SRK (2) Jln. Bukit)
3. Sebuah pejabat am (untuk SRK (2) Jln. Bukit)
4. Sebuah bilik rehat guru (untuk SRK (2) Jln. Bukit)
5. Sebuah bilik stor (untuk SRK (2) Jln. Bukit)
6. Sebuah kantin (untuk SRK (1) dan (2) Jln. Bukit)
7. Makmal komputer

Kemudahan-kemudahan yang disediakan

Untuk menjamin keselamatan bangunan sekolah daripada dicerobohi oleh pencuri dan binatang-binatang yang berkeliaran seperti lembu, kambing dan anjing, maka sebuah pagar telah didirikan mengelilingi kawasan sekolah pada tahun 1971.

Sebuah padang rumput telah disediakan di kawasan sekolah. Pada Februari 1981, Jabatan Pelajaran telah meratakan dan menanam rumput tetapi keadaan ini tidak memuaskan. Sepuluh bulan kemudian iaitu pada 21hb. Disember 1981, sekali lagi keadaan padang telah dibaiki disamping membina jalan beratap menuju ke kantin untuk kemudahan dan keselesaan murid-murid apabila hari hujan. Ini telah menelan belanja sebanyak RM25,000.00.

Bagi melengkapkan kemudahan asas di sekolah, bekalan air dan elektrik juga telah dibekalkan. Selain daripada itu, sebanyak 10 buah alat pemadam api berharga RM585.00 telah dibekalkan pada bulan Oktober 1981.

Sebuah mesin pendua jenis letrik Heavy Duty model Rex Rotary RR 790 telah dibeli pada 18hb. November 1982 berharga RM2,519.00 bagi melicinkan kerja-kerja pentadbiran.

Pada tahun 1975, sebuah perpustakaan yang sederhana besarnya telah dibuka untuk memudahkan murid-murid meminjam buku-buku cerita bagi menambahkan ilmu pengetahuan. Pada tahun 1982, Pusat Sumber Sekolah telah ditubuhkan bagi membantu proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah ini. Pada tahun 1993, satu blok bangunan setinggi tiga tingkat telah dibina bagi menampung jumlah pelajar yang semakin ramai. Bangunan ini akan dijangka siap pada awal tahun 1995.


PENGASAS SEKOLAH

Sejarah Guru Besar Pertama

Nama : Puan Mah Peng Wai
Tarikh Lahir : 16hb. Februari 1935
Tempat Lahir : Kajang, Selangor
Alamat : 144, Desa Bunga Raya, Jalan Sungai Chua,
43000 Kajang, Selangor.

Sejarah Persekolahan
1. Sek. Rendah Convent, Kajang (1945 - 1950)
2. Sek. Menengah Convent, Kajang (1951 )
3. Sek. Menengah Convent, Bukit Nanas (1952 - 1953)
4. Maktab Perguruan Kota Bharu, Kelantan (1954 - 1956)

Sejarah Perkhidmatan
1. Sek. Menengah Tinggi Kajang (1956 - 1962)
2. Sek. Menengah Yu Hua, Kajang (1963)
3. SRK(1) Jalan Bukit, Kajang (1964 - 15.01.85)
4. SRK Convent, Kajang (16.01.85 -31. 12.87)
5. Bersara pada 01.01.1988

Sumbangan

Beliau merupakan Guru Besar Pertama di sekolah ini. Dalam masa dua puluh satu tahun di sini, beliau telah menjalankan berbagai projek dan aktiviti bagi memajukan sekolah ini. Ini terbukti selama 21 tahun di bawah pentadbirannya, sekolah ini telah berkembang menjadi sekolah yang semakin maju dari segi kurikulum dan ko-kurikulum. Sesungguhnya jasa Pn Mah Peng Wai amat besar ertinya bagi sekolah ini. Terima kasih kepada beliau.

SENARAI GURU BESAR

1. Puan Mah Peng Wai (1964 hingga 1985)
2. En. Abu Hanet B Husin (Januari 1985 hingga 1987 )
3. En. Osman B Omar (Sept.1987 hingga 1989
4. En. Samsuri B Abdullah PJK (Ogos 1989 hingga 1992)
5. En. Roslan B Abdul Rahman (Okt. 1992 hingga 1993)
6. En Ahmad Jalaludin B Bujang (6 Jun 1993 hingga 2002 )
7. Pn Hjh Che Ah Bt Md Rifin (Disember 2002 hingga 25 Feb 2010)
8. Pn. Salmah Binti Salleh (1 Mac 2010 hingga 31 Disember 2015)
9. Pn. Hashimah Binti Hashim (1 Januari 2016 hingga 30 November 2017)
10. Pn. Jamilah Binti Mohd Yusof (12 Disember 2017 hingga sekarang)


COGAN KATA SEKOLAH

Cogan kata sekolah SK Jalan Bukit (Satu) ialah,

“ILMU TANGGA KEJAYAAN”